Voices That Care
Katakan Hai kepada ... Sazura
diterjemahkan oleh Rania Helmy
Setiap individu dalam ekosistem Care2Run sangat penting, dan kami telah berkembang begitu banyak dalam jangka masa lima tahun disebabkan sumbangan dan kerjasama semua orang yang terlibat dalam organisasi ini.
Atas sebab ini, kami berhasrat untuk menyerahkan seksyen ini kepada ahli-ahli kami – peserta, jurulatih, sukarelawan, ibubapa, rakan-rakan serta orang tersayang – agar mereka boleh berkongsi serba sedikit tentang Care2Run.
Minggu ini kami ingin memperkenalkan anda kepada … Sazura Sarif, seorang peserta yang berjaya merealisasikan impiannya melalui Care2Run.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
SAZURA memang sukakan aktiviti fizikal. Sejak kecil lagi, dia akan luangkan masa berjam-jam berjalan kaki, yang dianggapnya sebagai suatu senaman dan aktiviti yang menyeronokkan. Dia juga akan merebut sebarang peluang untuk menguji tahap kecergasan dirinya. Malangnya, ketika Sazura sedang giat mencari dan menyertai aktiviti yang lebih mencabar baginya, dia telah ditimpa dengan musibah kemalangan motosikal.
“Pada tahun 2006, saya telah terlibat dalam suatu kemalangan yang menyebabkan saya terpaksa melalui beberapa pembedahan, dan juga mengakibatkan kaki kiri saya menjadi lebih pendek dari yang kanan. Peristiwa itu amat mengecewakan kerana saya merupakan seorang yang sangat aktif. Namun, selepas kejadian tersebut, banyak perkara yang saya tidak boleh lakukan. Paling menyedihkan sekali ialah, saya tidak dapat memenuhi impian saya untuk menyertai sebarang larian.” jelas Sazura.
Walau bagaimanapun, perasaan putus asanya terus lenyap apabila beliau berpeluang untuk menyertai Bursa Bull Charge. Hasil daripada kerjasama unik di antara Yayasan Bursa dan Care2Run, larian tersebut telah membuka ruang kepada pelari-pelari berkelainan upaya untuk bertanding.
Pada waktu itu, Sazura kurang berkeyakinan sama ada dia sudah bersedia untuk menyertai larian tersebut. Namun, dia sangat teruja kerana diberi ruang untuk merealisasikan impiannya.
Kami memberi peluang kepada Sazura untuk berkongsi pengalamannya.
Hai, Sazura. Tolong deritakan serba sedikit tentang diri anda.
Hello. Saya berasal dari Kuantan. Dulu saya bekerja di KOMITED Malaysia, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menjalankan program intervensi bagi penagih dadah dan penghidap HIV/AIDS. Sekarang, saya bekerja sebagai seorang pengurus program di rumah perlindungan dan pemulihan wanita di Kuantan.
Saya mula bersukarelawan semasa 2006 dan pada masa yang sama, saya terus bekerja di KOMITED. Tahun itu juga, saya ditimpa kemalangan jalan raya dan terpaksa menjalani lima pembedahan dalam lingkungan tahun 2006 hingga 2010. Kini, kedua-dua belah kaki saya tidak sama panjang. Sehingga hari ini, sukar bagi saya untuk berjalan di atas permukaan yang tidak rata.
Anda telah menyertai Care2Run pada tahun 2018 sebelum acara Bursa Bull Charge 2018 (BBC 2018) dianjurkan. Bagaimanakah anda dapat tahu mengenai Care2Run?
Sebenarnya, saya tidak beberapa mengetahui tentang Care2Run sebelum larian BBC 2018. Dahulu, sebelum kemalangan saya pada tahun 2006, saya sangat menggemari aktiviti berjalan dan juga mendaki. Waktu itu, saya rasa berminat untuk menyertai acara larian. Akan tetapi, selepas insiden kemalangan tersebut, hajat saya tidak kesampaian.
Kebanyakan larian adalah sekurang-kurangnya 3km dan saya bimbang jika saya mampu berlari sejauh itu. Tahun lepas, sewaktu sibuk menyediakan kertas kerja untuk permohonan geran kepada Yayasan Bursa, saya perasan yang penganjur acara telah membuka slot bagi pelari para. Mulanya, saya ragu-ragu untuk sertai. Tetapi selepas mengetahui lariannya hanya 1.5km sahaja, saya membuat keputusan untuk mendaftar diri. Saya juga sedar, dulu saya pernah berkenalan dengan Prem dan Mee Leng pada tahun 2017. Waktu itu, Care2Run dan KOMITED Malaysia telah menerima geran daripada Yayasan Bursa. Secara tak langsung, saya telah dapat berjumpa semula dengan mereka apabila menyertai Care2Run.
Apakah tanggapan awal anda terhadap Care2Run semasa sesi latihan pertama BBC 2018?
Pada awalnya saya terkejut, kerana beranggapan bahawa Care2Run merupakan platform yang hanya membantu golongan yang mempunyai kelainan fizikal seperti saya. Tetapi kemudiannya, saya perhatikan terdapat juga golongan muda dengan Sindrom Down, autisme dan lain-lain. Apa yang mengujakan saya adalah, melihat betapa bersemangatnya mereka mengambil bahagian dalam aktiviti dan larian yang diadakan. Saya juga dapat perhatikan mentor-mentor yang tetap cekal berhadapan dengan cabaran ketika membimbing mentee mereka. Malah, mereka tidak mengalah dan terus berusaha sebaik mungkin. Saya amat seronok melihat mentor-mentor berinteraksi bersama para peserta terutamanya, mentee-mentee yang bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik.
Apakah pandangan anda terhadap Care2Run selepas sudah melihat dan merasai sendiri aktiviti kami?
Saya rasa Care2Run merupakan inisiatif yang sangat bagus kerana ia bukan sahaja menyediakan platform kepada golongan muda berkelainan upaya, malah dapat membina kecergasan dan keyakinan diri mereka. Tambahan pula, Care2Run memberikan mereka ruang dan peluang untuk berinteraksi dengan rakan-rakan lain yang menghadapi cabaran yang serupa. Saya juga percaya para sukarelawan dapat memanfaatkan program ini kerana berpeluang menilai semula diri mereka.
Ceritakan pengalaman anda semasa larian tersebut pada Sept 27, 2018.
Sangat menyeronokkan! Memanglah lebih seronok jika tidak hujan lebat hari tersebut, tetapi ia masih merupakan pengalaman yang sangat positif bagi saya. Saya amat menghargai masa yang diluangkan bersama Kak Ros, rakan larian saya dari Bursa. Dia banyak membantu dan menyokong saya sepanjang larian. Sampai sekarang, saya masih hubungi dia dari masa ke masa.
Acara tersebutlah yang menentukan jika saya mampu untuk mengambil bahagian dalam larian lain. Kini, saya sedar tiada perkara yang mustahil bagi saya lakukan. Sememangnya, saya sangat berminat untuk menyertai lebih banyak acara di masa hadapan.
Apakah aspirasi anda untuk Care2Run?
Saya harap Care2Run dapat berkembang dan meluaskan cawangannya ke negeri-negeri lain. Saya pasti ramai kanak-kanak dan golongan belia dapat memperoleh manfaat daripada program sebegini. Kini, terdapat banyak program bagi golongan berkelainan upaya di Kuala Lumpur dan Selangor. Walau bagaimanapun, kurang pilihan bagi mereka yang tinggal di luar kawasan Lembah Klang. Harapan terakhir saya adalah supaya mereka dapat membuka cawangan di Kuantan agar lebih mudah bagi saya mengambil bahagian dalam aktiviti-aktivitinya.