Voices That Care
Katakan Hai kepada ... Amirul
diterjemahkan oleh Rania Helmy
Setiap individu dalam ekosistem Care2Run sangat penting, dan kami telah berkembang begitu banyak dalam jangka masa lima tahun disebabkan sumbangan dan kerjasama semua orang yang terlibat dalam organisasi ini.
Atas sebab ini, kami berhasrat untuk menyerahkan seksyen ini kepada ahli-ahli kami – peserta, jurulatih, sukarelawan, ibubapa, rakan-rakan serta orang tersayang – agar mereka boleh berkongsi serba sedikit tentang Care2Run.
Minggu ini kami ingin perkenalkan …. Muhammad Amirul Ilman Mansori, seorang Jurulatih Muda Care2Run yang telah terlibat dalam program Care2Run sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
Apabila kami berborak, memang tidak disangka anak muda ini baru berumur 15 tahun. Dia bijak mengambil hati orang sekelilingnya dengan karakternya yang konfiden dan kelakar, lebih-lebih lagi apabila kami berborak tentang topik kegemarannya: kumpulan nasyid Raihan dan Rabbani, hobinya iaitu menari dan lebih-lebih lagi, Care2Run.
Amirul, yang telah berjaya menjadi seorang Jurulatih Muda sejak 2018, telah terlibat dalam program Care2Run sejak dia berusia 11 tahun lagi. Maka tidak hairanlah jika dia amat selesa dengan pendekatan kami, dan bagaimana aktiviti sukan dan mentor-mentee dapat memberi kesan positif kepada warga muda yang berkelainan upaya termasuknya.
Sebagai seorang yang memiliki sindrom Asperger dan ADHD, Amirul terasa amat bertuah kerana dapat terlibat dengan Care2Run, terutamanya Program Pemimpin Muda (JLP). Program-program sebegini telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupannya di rumah dan di sekolah. Atas sebab inilah, Amirul yang juga bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan muzik, bertekad untuk menyumbang semula kepada komuniti.
“Saya rasa banyak berubah sejak menyertai Care2Run dan dapat sesuatu yang baru setiap kali menyertai acara mereka. Saya juga anggap komuniti Care2Run seperti keluarga saya sendiri” kata Amirul.
Ibunya, Salasiah Shafii juga berkongsi dengan kami, “Anak-anak saya Aidil dan Amirul sangat minat dengan program-program Care2Run. Kami semua bagaikan satu keluarga yang saling memahami antara satu sama lain.”
Kami memberi peluang kepada Amirul untuk berkongsi serba sedikit tentang pengalamannya dengan Care2Run.
Hai Amirul! Beritahu bagaimana kamu mula mengenali Care2Run?
Saya mula terlibat dengan Care2Run pada tahun 2015 semasa sebuah program Rimba Ilmu di Universiti Malaya, dan saya amat menyukai aktiviti-aktiviti yang diadakan. Kami telah menyertai larian alam semula jadi dan dapat belajar tentang alam sekitar. Sebenarnya, ibu saya yang memperkenalkan saya kepada Care2Run. Ibu saya dapat tahu tentang Care2Run semasa abang saya mengikuti program Care2Run di SMK Kelana Jaya. Selepas program di Universiti Malaya, saya terlibat semula pada 2017, apabila saya menyertai program Care2Run di SMK Kelana Jaya. Kemudian pada tahun 2018, saya telah menyertai JLP.
Bagaimanakah program JLP membantu kamu?
JLP telah mendorong saya untuk menjadi seorang Jurulatih Muda di mana saya dapat membantu dan memahami kanak-kanak lain yang berkelainan upaya. Saya juga telah belajar cara untuk mengawal emosi saya. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih-jurulatih saya, terutamanya Jurulatih Prem, Jurulatih Eric, Jurulatih Greg dan Jurulatih Mee Leng yang banyak membantu sindrom Asperger dan ADHD saya. Mereka mengajar saya memahami diri sendiri, dan cara mengawal emosi dan hiperaktiviti saya. Apabila saya hilang konsentrasi, saya diajar untuk memfokuskan perhatian dan kecenderungan hiperaktif saya. Saya juga semakin berani, berkeyakinan dan berkepimpinan. Saya bekerjasama dengan baik dengan Jurulatih Mee Leng dan saya rasa dia seorang jurulatih yang sangat baik. Dia seperti kakak saya, dan saya banyak belajar daripadanya.
Sebagai seorang Jurulatih Muda Care2Run, bagaimanakah kamu membantu orang muda lain yang berkelainan upaya?
Saya rasa saya dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan peserta-peserta baru melalui pengalaman saya di JLP.
Adakah hubungan kamu di antara keluarga dan rakan-rakan kamu semakin baik sejak mula terlibat dengan Care2Run?
Saya semakin rapat dengan ibubapa dan hubungan saya dengan adik-beradik saya pula…. okay lah haha. Di sekolah, saya lebih fokus dan dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik.
Ceritakan sedikit tentang rakan-rakan Jurulatih Muda kamu.
Saya rapat dengan Jurulatih Muda Hakimi, Khang Zen dan Max. Kami sama-sama terlibat dalam program ini sehingga menjadi rakan akrab sampai sekarang.
Apakah erti Care2Run kepada kamu, Amirul?
Care2Run dan JLP, bukannya sekadar aktiviti senaman atau sukan tetapi ia membimbing golongan muda yang berkelainan upaya. Program ini dapat menjadikan mereka lebih konfiden agar mereka mudah berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan orang lain. Kadang-kadang, kita berfikiran negatif dan sering bimbang tentang kehidupan kami selepas tamat sekolah nanti. Bagi saya, Care2Run banyak memberi manfaat kepada golongan muda yang kelainan upaya seperti saya. Terdapat segmen sukan, mentor-mentee dan banyak lagi yang membantu kami secara keseluruhan.
Apakah impian kamu untuk Care2Run?
Saya harap Care2Run semakin berkembang dan dapat membantu lebih ramai kanak-kanak seperti saya. Program seperti di SMK Kelana Jaya harus dianjurkan di banyak sekolah lagi dalam usaha memperluaskan program Care2Run. Dengan ini, kita mampu menyebarkan mesej yang positif kepada lebih ramai orang dan ini ialah peluang yang sangat baik!