Voices That Care
Katakan Hai kepada ... Izzaty & Azleen
diterjemahkan oleh Rania Helmy
Setiap individu dalam ekosistem Care2Run sangat penting, dan kami telah berkembang begitu banyak dalam jangka masa lima tahun disebabkan sumbangan dan kerjasama semua orang yang terlibat dalam organisasi ini.
Atas sebab ini, kami berhasrat untuk menyerahkan seksyen ini kepada ahli-ahli kami – peserta, jurulatih, sukarelawan, ibubapa, rakan-rakan serta orang tersayang – agar mereka boleh berkongsi serba sedikit tentang Care2Run.
Minggu ini kami ingin memperkenalkan …. Nur Azleen Abdullah dan Nur Izzaty Rasli, seorang ibu dan anak yang banyak memperoleh perubahan positif sejak menyertai Care2Run.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
IZZATY agak pendiam pada sesi pertama Care2Run yang dihadirinya. Namun, selang beberapa minggu, dia semakin selesa kerana sudah mengenali rakan-rakan sekelilingnya, dan kerap tersenyum ketika bersama mereka.
Dan pada larian Bursa Bull Charge 2018 (BBC 2018), Izzaty kelihatan sangat bersemangat semasa di garisan permulaan.
Walaupun hujan turun dengan lebat pada hari tersebut, namun raut wajah Izzaty tetap riang. Izzati diiringi dengan sorakan dan kata-kata semangat sepanjang larian dan ini membuat dirinya terasa bagaikan seorang juara.
Sebelum larian 1.5km itu bermula, ibu Azleen terasa sedikit bimbang. Walau bagaimanapun, semua kerisauannya lenyap apabila melihat gelagat Izzaty semasa berlari, dan dia berasa sangat senang hati anaknya dapat menyertai larian tersebut.
“Saya sebenarnya risau, takut-takut Izzaty tidak selesa dan seronok hari itu. Tapi mentornya, Liza dan Padma banyak membantu dan mendorongnya dengan kata-kata semangat seperti ‘Good job!’ dan ‘Go Izzaty, Go… kamu boleh lakukannya!’ Semua ini telah membuatnya riang sepanjang hari,” ujar Azleen.
Dia mengulas bahawa pengalaman positifnya semasa sesi latihan dan larian BBC 2018 tersebutlah yang merupakan sumber inspirasi kepadanya untuk menjadi seorang sukarelawan Care2Run.
“Izzaty memang gembira dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Care2Run. Dia kerap tersenyum dengan menunjukkan “thumbs up” setiap kali dia melihat seseorang yang berbaju kuning kerana warna itu mengingatkannya akan rakan-rakannya di Care2Run,” menurut ibunya.
Kami memberi peluang kepada Azleen untuk berkongsi serba sedikit tentang pengalaman mereka dengan Care2Run.
Hai Azleen! Bolehkan anda ceritakan sedikit tentang diri anda dan Izzaty?
Hello! Saya sudah bersara sejak 2001, tetapi sebelum ini saya berkhidmat di bidang perbankan selama 20 tahun. Dulu saya berkerja di Bank Bumiputra, yang sekarang dikenali sebagai Bumiputra Commerce. Sejak 2001, saya telah aktif menjadi sukarelawan dengan pelbagai NGO, kebanyakannya melibatkan kanak-kanak yang berkelainan upaya. Selain itu, saya juga terlibat dalam beberapa projek komuniti.
Izzaty baru berumur dua tahun sewaktu saya bersara. Saya mengambil keputusan untuk bekerja sepenuh masa di NGO untuk belajar apa sahaja demi membantu anak saya. Saya dan suami dapat tahu yang Izzaty mempunyai Sindrom Down saat dia dilahirkan, dan sejak itu kami telah menumpukan sepenuh fokus kepadanya.
Pada mulanya, kami daftarkan Izzaty ke Kiwanis Down Syndrome Foundation (KDSF) dan dia belajar di sana sehingga berumur enam tahun. Kemudian, kami menghantarnya ke Wisma Harapan di Brickfields. Sekali-sekala, dia akan ke Persatuan Sindrom Down Malaysia.
Pengalaman kami bukan semuanya mudah. Di KDSF, Izzaty belajar bersama kanak-kanak Sindrom Down tetapi kemudiannya, dia dikumpulkan dengan rakan-rakan lain yang berkelainan upaya. Itu merupakan saat yang mencabar bagi dirinya mahupun guru-gurunya.
Bagaimanakah anda mula terlibat dengan Care2Run?
Sebenarnya, saya dapat tahu tentang Care2Run secara kebetulan melalui Bursa Bull Charge 2018 (BBC 2018). Lalu saya terus mendaftarkan Izzaty kerana merasakan aktivitinya berbeza daripada NGO lain.
Saya rasa Care2Run sangat unik kerana menggunakan aktiviti sukan untuk membantu kanak-kanak berkelainan upaya dengan pendekatan “mentoring one-to-one”. Ini tidak pernah dilakukan oleh NGO-NGO lain. Program-program yang dijalankan bersifat holistik dan bukan sahaja mampu mengekalkan kecergasan diri tetapi juga bertujuan untuk menbantu mereka.
Saya dapat lihat sendiri bagaimana anak-anak muda ini diberikan peluang untuk berkembang secara individu. Mereka didorong untuk menjadi seorang pemimpin yang bertoleransi dan menjadi sumber inspirasi kepada satu sama lain.
Apakah perubahan yang anda lihat pada Izzaty sejak terlibat dengan Care2Run?
Dorongan positif berbagai pihak menjadi faktor utama bagi Izzaty untuk terus menyertai Care2Run. Pada mulanya dia terasa amat malu dan tidak mahu mengambil bahagian dalam aktiviti kerana kehadiran orang yang ramai. Tetapi selang beberapa minggu, dia menjadi lebih selesa dan mula melibatkan diri secara aktif. Mentor-mentor Izzaty juga dapat berhubung baik dengannya semasa larian. BBC 2018 merupakan saat yang sangat gembira bagi Izzaty dan itulah kali pertama dia berlari dalam hujan.
Izzaty juga turut serta dalam Ayer CelebrateLife Walk beberapa bulan selepas BBC 2018 Adakah dia seronok seperti di larian BBC 2018 dulu?
Ya, dia sangat seronok pada hari itu! Saya amat berterima kasih kepada Jurulatih Muda Max dan Sin Mei yang melayan Izzaty dengan baik. Terutamanya Sin Mei, yang sangat bijak memujuk Izzaty untuk meneruskan lariannya. Malah dia juga menggunakan Milo untuk menarik perhatian Izzaty dan Max pula mengajar Izzaty mengambil gambar dengan kameranya.
Sebagai seorang sukarelawan Care2Run, apakah erti Care2Run kepada anda? Apa yang mendorong anda untuk terus menyumbang?
Saya amat menghargai semua usaha murni Care2Run dalam membantu dan memperjuangkan anak-anak yang berkelainan upaya. Apa yang dilakukan mereka ini sangat istimewa kerana bukan ramai orang yang mengambil berat tentang golongan ini. Prem sememangnya menjadi sumber motivasi dan inspirasi utama Izzaty. Malah, dia juga bijak membuat Izzaty selesa dengannya. Saya rasa Care2Run telah memainkan peranan yang sangat penting dalam perjalanan kehidupan Izzaty.
Care2Run banyak membantu anak saya memahami dirinya dan saya percaya ia mampu menolong ramai lagi kanak-kanak seperti Izzaty. Care2Run berjaya menyediakan ruang untuk mereka berinteraksi dan bersosial dengan orang lain. Sebagai seorang ibu, saya gembira melihat perubahan positif pada Izzaty kerana itulah saya terus menjadi sukarelawan.