Voices That Care
Katakan Hai kepada ... Finas
diterjemahkan oleh Rania Helmy
Setiap individu dalam ekosistem Care2Run sangat penting, dan kami telah berkembang begitu banyak dalam jangka masa lima tahun disebabkan sumbangan dan kerjasama semua orang yang terlibat dalam organisasi ini.
Atas sebab ini, kami berhasrat untuk menyerahkan seksyen ini kepada ahli-ahli kami – peserta, jurulatih, sukarelawan, ibubapa, rakan-rakan serta orang tersayang – agar mereka boleh berkongsi serba sedikit tentang Care2Run.
Minggu ini kami ingin memperkenalkan anda kepada … Noor Shafinas Abdoel Moerad, seorang sukarelawan dan ibu kepada anak lelakinya, Adika. Finas sangat bersyukur dapat mengenali satu komuniti yang saling membantu sama lain seperti keluarga sendiri.
Klik di sini untuk versi Bahasa Inggeris.
Hanya segelintir sahaja yang dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh ibu dan bapa kepada anak yang berkelainan upaya. Tentulah, semua ibubapa akan risau tentang perkembangan anak mereka. Akan tetapi, mereka akan terasa lebih gementar dan bimbang jika berseorangan dalam menghadapi dugaan ini.
Finas, ibu kepada tiga orang anak, mengulas bahawa inilah sebab dia terasa sangat bertuah dapat mengetahui tentang Care2Run.
“Saya tak risau lagi tentang stigma dan tanggapan orang tentang kanak-kanak berkelainan upaya kerana kini, masyarakat semakin memahami dan menerima. Namun, kebanyakan orang masih lagi tidak faham perasaan ibubapa yang mempunyai anak yang berkelainan upaya.” luah Finas yang merupakan ibu kepada dua orang anak autisme. “Ramai orang tak tahu betapa mencabarnya menjaga dan mengawal anak-anak sebegini semasa di tempat awam.”
“Tetapi di Care2Run, semua orang memahami dan membantu sesama lain seperti keluarga sendiri.”
Finas, yang telah mengorbankan kerjayanya di bidang teknologi informasi (IT) demi menjaga anak-anaknya, menjelaskan bahawa Adika dan dirinya sangat seronok semasa menyertai Program Asasi Care2Run.
Hai Finas! Boleh tak kongsikan bagaimana anda mula mengenali Care2Run dan apa yang telah mendorong anda untuk mendaftar Adika ke dalam program ini?
Hello! Sebenarnya, saya dapat tahu tentang Program Asasi Care2Run melalui mesej WhatsApp yang dihantar oleh guru kelas Adika. Program tersebut telah menarik perhatian saya sewaktu itu kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak seperti Adika untuk bersosial antara mereka.
Bolehkah anda jelaskan serba sedikit tentang perkembangan Adika sejak kecil?
Adika sebutkan perkataan pertamanya semasa berumur satu tahun tetapi kemudian, dia berhenti bercakap. Dia mula mengepak-ngepakkan tangannya (flapping hands) dan menunjukkan perilaku “stimming”. Saat itulah, saya sedar bahawa dia berkelainan upaya.
Dia didiagnosis dengan autisme sewaktu berumur empat tahun. Sebaik sahaja kami dapat tahu, kami segara memulakan terapi carakerja (occupational therapy) dan terapi pertuturan (speech therapy). Dia memulakan pendidikannya di pusat PDK (Program Pemulihan Dalam Komuniti) sehingga enam tahun. Sekarang, dia sudah darjah satu di program PPKI di sekolah kerajaan.
Sejak menyertai Program Asasi Care2Run, apakah penambahbaikan yang anda perhatikan pada Adika?
Sukar untuk saya terangkan berkenaan peningkatan prestasi Adika, kerana dia baru dua bulan menyertai Care2Run. Rasanya, kami perlukan lebih banyak masa untuk memerhati perkembangannya. Tapi setakat ini, saya boleh lihat Adika amat gemari program Care2Run. Dia sering menghitung hari hingga sesi program yang seterusnya.
Bernyanyi dan menari juga merupakan antara aktiviti kegemaran anak saya selain menyertai program ini. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mentor anak saya, Uma yang telah banyak bersabar dan mengambil masa untuk merapatkan dirinya dengan Adika. Usaha ikhlas Uma sangat bermakna bagi kami sekeluarga. Selain itu, saya amat teruja dengan personaliti Uma yang tenang dalam membimbing anaknya, Sanjivan.
Apakah perubahan yang anda lihat dalam diri anda sejak terlibat dengan Care2Run?
Saya tidak lagi rasa seakan-seakan keseorangan dalam perjuangan ini. Kerana ramai lagi ibu bapa yang hadapi cabaran yang sama seperti saya. Dedikasi dan kasih sayang mereka dalam menjaga anak-anak mereka, lebih-lebih lagi yang sudah meningkat remaja atau dewasa, menjadi sumber inspirasi kepada saya sekeluarga.
Boleh tak ceritakan suatu peristiwa bersama Care2Run yang tidak dapat anda lupakan?
Hari itu cuaca mendung dan mula hujan. Adika yang mengalami tantrum ketika itu, amat tidak berpuas hati kerana tidak dapat ke taman permainan. Namun demikian, Prem, Uma dan beberapa rakan yang lain sama-sama membawanya ke ruang aktiviti utama bagi menenangkannya. Melihat usaha Prem dan yang lain, saya terasa amat terharu dengan keprihatinan mereka semasa menjaga anak saya.
Apa yang anda suka tentang Care2Run? Dan apakah harapan anda bagi kami?
Bagi saya, Care2Run merupakan satu komuniti yang membuat saya rasa normal dan selesa. Malah, di sini juga, tempat di mana anak-anak saya boleh bergembira dan bermain dengan rakan-rakan mereka yang berkelainan upaya. Saya harap lebih ramai orang dapat mengetahui tentang Care2Run kerana program-program yang dijalankan banyak memanfaatkan ibubapa dan anak-anak mereka yang berkelainan upaya.